Wednesday, November 09, 2011

Islam membenarkan kahwin untuk seketika??

As salam..

1. Pernahkah anda mendengar sesiapa dikalangan rakan atau saudara kita yang berkahwin untuk satu tempoh yang pendek dan kemudian bercerai. Sekali pun ia berlaku, kita akan terus beranggapan perkahwinan yang dibina adalah drama bagi menutup aib atau terdapat helah disebalik perkahwinan tersebut.

2. Semalam (8 Nov 2011) sewaktu saya memandu kereta sambil mendengar radio pilihan utama anda, IKIM FM saya mendengar perkongsian ilmu wawancara bersama Rektor UIAM, Datuk Prof. Dr. Zaleha Kamaruddin yang berbincang mengenai fasakh dan taklik dalam membubarkan perkahwinan.

3. Walaupun, topik tersebut belum relevan untuk saya yang masih bujang trang-tang-tang ini, namun terdapat beberapa perkara yang sangat menarik minat saya untuk tekun mendengar apabila Dr. Zaleha menerangkan bahawa terdapat aliran kepercayaan dalam Islam yang membenarkan sesebuah perkahwinan dibubarkan selepas satu tempoh yang singkat.

4. Perkara ini sebenarnya telah pun saya dengar sebelum ini. Perkahwinan yang dimaksudkan adalah MUTAAH. Mutaah ini hanya wujud dalam mazhab Syiah. Dalam kelompok Sunnah Wal Jamaah baik dari Arab Saudi hingga China atau dikalangan Imam 4 Mazhab iaitu Syafie, Hambali, Maliki dan Hanafi, tiada istilah mutaah yang dihalalkan. 

5. Bagi mendapatkan kepastian berkenaan hal mutaah ini, saya telah merujuk kepada sahabat saya yang faqih dalam syariah dan hukum Fiqh Islam iaitu Ustaz Fadhlan Yahya, beliau menerangkan bahawa mutaah telah DIHALALKAN dizaman Saydina Ali karamallahu wajhah bagi memastikan setiap askar yang pergi berperang dapat memberikan khidmat yang cemerlang selepas keperluan batin ditunaikan. Namun menurut Ustaz Fadhlan lagi, Saydina Ali r.a. jugalah yang MENGHARAMKAN mutaah ini daripada diteruskan selepas membuat pertimbangan yang sangat teliti.

6. Bagaimana pun, amalan mutaah dikalangan pengikut Syiah masih diteruskan sehingga kini. Menurut Dr. Zaleha pada petang itu lagi, di Iran mutaah yang dibenarkan dengan pra-syarat yang amat ketat. Antara syarat-syarat yang perlu dipersetujui adalah tidak dibenarkan membuat zuriat semasa dalam tempoh perkahwinan, tiada tuntutan nafkah yang boleh dipohon selepas perceraian dan pasangan perempuan yang dibenarkan untuk melangsungkan nikah mutaah adalah BALU (janda) sahaja.

7. Mutaah atau nikah kontrak ini mempunyai implikasinya yang tersendiri sekiranya diamalkan di negara ini. Ikatan perkahwinan bukan setakat menikmati hubungan seksual tetapi pembinaan sebuah keluarga yang diredhai oleh Allah s.w.t.

8. Para imam mazhab dalam Sunnah Wal Jamaah telah bersepakat bahawa mutaah diharamkan dalam Islam walaupun menyedari Syiah membenarkan perlakuan sedemikian. Seperkara lagi, kita tidak boleh mengamalkan mana-mana ibadah dalam mana-mana mazhab mengikut kesukaan kita. Amalan ibadah kita mestilah mengikut ajaran Imam Mazhab masing-masing melainkan kita mempunyai ilmu yang secukupnya terhadap persamaan dan perbezaan kesemua pendapat Imam Mazhab. Apatah lagi mazhab Syiah yang tidak tergolong dalam Sunnah Wal Jamaah.

Wallahu 'Alam.

Pacco Nizam.

No comments: