Thursday, November 03, 2011

1MDB



As Salam..

1. Sekiranya anda membelek surat khabar pada hari ini, pasti anda akan gembira melihat para jemaah haji daripada Malaysia yang sedang menunaikan rukum Islam yang kelima di Makkah. Kecekapan pasukan Tabung Haji mengendalikan 28,000 jemaah haji diiktiraf antara yang terbaik didunia oleh negara tuan rumah, Arab Saudi. Para jemaah haji dijaga makan minum, kesihatan, ceramah-ceramah agama secara berterusan di Mekah bagi mendidik para jemaah serta lawatan-lawatan yang diatur disekitar tempat-tempat bersejarah di Mekah merupakan peluang keemasan bagi para jemaah yang dimakbulkan doa mereka menjejakkan kaki di bumi anbiya tersebut.



2. Sedang saya terhibur dan sayu dengan komen-komen para jemaah yang sedang menanti dengan sabar wukuf di padang Arafah pada hari Sabtu ini sebelum kita menyambut Hari Raya Eidul Adha (biasa dipanggil Raya Qurban), saya tertanya-tanya tentang jenis perniagaan apa yang diusahakan oleh 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) yang bermurah hati menaja seramai 111 orang Jemaah Haji pada tahun ini.

3. Bagi merungkai siapakah 1MDB ini, saya menelusuri laman sesawang syarikat ini di www.1mdb.com.my. Rupa-rupanya syarikat ini adalah inisiatif Kerajaan dengan menyuntik modal operasi permulaan sebanyak RM1 juta bagi membantu Kerajaan Malaysia melaksanakan pembangunan strategik secara Private Public Partnership. Saya cuba membaca isi kandungan projek-projek di bawah 1MDB dan menarik perhatian saya adalah projek Bandar Malaysia. Projek ini terletak di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Sg Besi.
4. Bagaimana pun, pada 22 Jun 2011 Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) menyiasat latar belakang 1MDB, lembaga pengarah, pelaburan 1MDB dan kaitan dengan pelaburan yang mendatangkan keuntungan singkat bersama syarikat Arab Saudi iaitu PetroSaudi Limited. Klik sini.

5. Sebagai rakyat biasa, kita perlu memberi sokongan kepada inisiatif-inisiatif Kerajaan mengurangkan beban kos pengurusan melaksanakan projek-projek rakyat. Ini kerana kita semua tahu bahawa kos operasi (overhead cost) bagi setiap projek adalah tinggi dan kadang kala membazir. Inisiatif kerajaan mengalihkan bebanan kos pengurusan dan bagi memastikan pelaksanaan projek-projek berorientasikan rakyat ini dilaksanakan dengan standard tinggi sebagaimana kendalian syarikat swasta yang besar, perlu diakui langkah cerdik.

6. Pada masa ini, tidak banyak maklumat yang ada mengenai pencapaian sebenar 1MDB selain daripada projek-projek Corporate Social Responsibility (CSR) yang telah diberi liputan meluas diakhbar-akhbar daripada Dana Belia 1 Malaysia, anugerah akademik kepada pelajar cemerlang cina, Yayasan 1MDB dan terbaharu adalah penajaan kepada imam, bilal dan jawatankuasa kampung terpilih menunaikan haji pada tahun ini seramai 111 orang.

7. Menjadi harapan kepada semua rakyat supaya Kerajaan jujur dan telus dalam menyediakan sebarang bantuan/pinjaman kepada 1MDB kerana niat asal penubuhan syarikat ini adalah mengurangkan kos pengurusan Kerajaan, meningkatkan produktivti dan melaksanakan projek pembangunan Kerajaan dengan efisien. Harapan besar ini perlu diterjemahkan kepada pencapaian 1MDB dan perlu dilaporkan sebagaimana amalan tadbir syarikat korporat berprestasi tinggi.

Pacco Nizam.

No comments: