السلام عليكم ورحمة الله وبركاته dan Salam Sejahtera,
1. Lama saya tidak meluangkan masa mencoret dalam blog peribadi Mypiece ni. Maklum lah, saya sebenarnya seorang yang introvert walaupun rakan-rakan melihat saya sebagai seorang yang extrovert. Saya tidak gemar berkongsi hal-hal peribadi atau pemikiran saya secara terbuka tetapi naluri untuk 'berkatalah yang haq, walaupun ia pahit' sentiasa meronta-ronta di benak ini.
2. Malaysia akan melalui pengalaman seperti negara demokrasi yang lain di dunia ini apabila mengadakan Pilihanraya ke -13 (PRU 13) selewat-lewatnya pada April 2013. Pada ketika ini (Feb 2013), ke mana sahaja kita jengah dan ronda, sudah pasti topik perbualan akan berkisar mengenai PRU 13.
3. Pada 25 Feb 2013, Pakatan Rakyat iaitu gabungan parti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam seMalaysia (PAS) dan Democratic Action Party (DAP) telah mengumumkan Manifesto PRU 13 yang bertemakan Pakatan Harapan Rakyat.
 |
Cover page manifesto Pakatan Rakyat |
4. Apa itu Manifesto? Menurut Kamus Dewan edisi online, "(manifésto) pengisytiharan kpd orang ramai tentang dasar (tujuan, dll) sesuatu parti politik sebelum pilihan raya dll". Ini bermakna Pakatan rakyat selaku peserta PRU 13 telah mengumumkan dasar atau polisi sekiranya berjaya membentuk Kerajaan. Berikut adalah antara intipati Manifesto yang telah diumumkan:
a) Manifesto Pakatan Rakyat (Monopoli) :
- Menghapuskan monopoli termasuklah melakukan perjanjian semula dengan taikun pengeluar tenaga bebas (IPP) dan bubar 1Malaysia Development Bhd. dan menggantikan dengan Suruhanjaya Anti Monopoli.
- Suruhanjaya Kontrak Awam diwujudkan bagi menilai semula konsesi berat sebelah, tender terbuka, melupuskan pegangan kerajaan dalam GLC.
b) Manifesto Pakatan Rakyat (Projek) :
- Mengkaji semula perancangan untuk penabaikan projek penapisan petroleum di Pengerang, Johor
- Mengkaji semula deretan projek empangan di Sarawak ketika ini
c) Manifesto Pakatan Rakyat (Alam Sekitar) :
- Mengkaji semula undang-undang alam sekitar termasuklah undang-undang pembalakan
- Menghentikan segera projek kontroversi nadir bumi Lynas di Gebeng Pahang
d) Manifesto Pakatan Rakyat (Pendidikan, Kerja Kosong, Kemahiran, Perniagaan & Pendapatan) :
- Mewujudkan 1 juta peluang kerja kosong untuk rakyat Malaysia dengan mengurangkan kebergantungan buruh asing secara berperingkat-peringkat
- Memperkenal gaji minima RM1,100 sebulan.
- Melatih 1 juta lepasan sekolah yang tidak melanjutkan pelajaran.
- Membina 5 universiti dab 25 sekolah vokasional
- Tabung inovasi IKS RM500 juta
- Skim gaji baru & perkhidmatan baru penjawat awam akan diperkenalkan yang lebih adil dan saksama
- Memberi permit terus kepada pemandu teksi
f) Manifesto Pakatan Rakyat (Cukai)
- Menyelaras cukai rakyat di mana kadar cukai tertinggi 26% untuk cukai pendapatan hanya mula dibayar bagi pendapatan boleh cukai melebihi RM400,00 berbanding RM250,000 sekarang.
- Meningkatkan pengecualian cukai pendapatan kepada RM4,000berbanding RM2,500 yang dilaksanakan pada ketika ini
g) Manifesto Pakatan Rakyat (Tentera) :
- Memperuntukkan RM500 juta untuk Tabung Usahawan Kecil Prajurit, kenaikan caruman LTAT dari 15% ke 20%, dividen RM2000 setahun kepada bekas prajurit tidak berpencen.Manifesto Pakatan Rakyat (pemandu teksi) :
h) Manifesto Pakatan Rakyat (Pengangkutan) :
- Pengangkutan awam percuma kepada golongan berbeza upaya
- menambah bilangan bas yang sedia ada
- merangka untuk membina sistem keretapi laju antara bandar.
i) Manifesto Pakatan Rakyat (Perubatan) :
- Menolak cukai kesihatan seperti yang dicadangkan melalui 1Care
j) Manifesto Pakatan Rakyat (Lain-lain) :
- Memansuhkan AUKU & Kebebasan Akademik
5. Sekiranya kita membaca, meneliti dan meluangkan sedikit masa untuk menganalisa, kita akan dapati tawaran PR dalam PRU 13 ini sangat menarik. Umum mengetahui, percubaan PR dalam PRU kali ini amat terancang, berwaspada dan penuh dengan taktikal. Malahan saya fikir, kali pertama dalam sejarah PRU di negara ini parti politik mendedahkan Manifesto sebelum Parlimen dibubarkan. Sama ada strategi ini mengena atau tidak, hanya pengundi sahaja boleh menentukannya.
6. Saya tidak mahu menyentuh tentang kandungan atau keupayaan manifesto tersebut diterjemahkan dalam konteks realiti semasa. Mengupas manifesto ini memerlukan forum atau ruangan yang lebih luas untuk dibahaskan.
7. Dijangkakan pesaing Pakatan Rakyat iaitu Barisan Nasional sedang mengkaji dan membuat semula sentusan terakhir (fine tune) ke atas Manifesto mereka selagi Parlimen belum dibubarkan bagi memastikan tawaran mereka kepada pengundi walaupun tidak lebih baik tetapi setara (at par) dengan pesaing mereka.
8. Merangka dasar negara bukanlah kerja yang boleh disiapkan dalam tempoh sehari dua. Perancangan perlu dilampiaskan (substantiate) dengan fakta, analisis dan kajian yang boleh dipercayai. Sudah tentu sekiranya manifesto bersifat populis hanya untuk menjadi sensasi dan popular, itu adalah satu ancaman dan tanda-tanda malapetaka kepada rakyat. Bagaimana pun, sekiranya setiap dasar yang dicadangkan telah dikaji kesesuaian untuk jangka pendek dan panjang, itu adalah rahmat kepada rakyat.
9. Sebagai rakyat Malaysia, saya bersyukur kerana dalam kehangatan peperangan dalam dunia maya dan dunia real mengenai perbezaan idealogi politik, negara ini masih aman dan harmoni. Keamanan yang ada hari ini perlu dijaga dan dihormati. Ianya tidak menjelma seperti matahari setiap pagi. Ia hadir dengan perancangan dan tolak ansur kita semua. Peliharalah keamanan negara bukan untuk kita raikan, tetapi untuk dikecapi generasi yang akan hidup selepas ini.
9. Sekiranya anda membaca blog ini, titipkan sebaris dua komen untuk dikongsi.
والسلام.