Monday, October 15, 2012

Post Bajet 2013

Assalamu'alaykum wrt. wbt. dan salam sejahtera,


1. Sudah sekian lama sejak pembentangan Bajet 2013 diumumkan oleh Perdana Menteri pada 28 September 2012, saya masih malas hendak menulis sebarang ulasan walaupun hal-hal Bajet ini menjadi bualan saya dan rakan-rakan apabila acap kali bertemu.

2. Saya juga telah meneliti cadangan-cadangan Pakatan Rakyat (PR) terhadap Bajet Bayangan yang telah diumumkan oleh de-facto leader PKR, Dato' Seri Anwar bin Dato' Ibrahim pada 26 September 2012.

3. Secara keseluruhannya, Bajet 2013 yang dicadangkan (masih dibahaskan di Parlimen) oleh Barisan Nasional (BN) adalah lebih berwibawa, berprinsip dan mampan berbanding Bajet oleh PR yang tidak resilient, populis dan tidak konsisten.

4. Walaupun Bajet RM250 biliion yang diumumkan oleh DS Najib menepati saranan-saranan Bank Dunia dengan mengurangkan defisit dan telah mengambil kira ketidaktentuan ekonomi Eropah dan Amerika (vulnerability), namun DS Najib sedikit sebanyak telah mengikut rentak PR apabila meneruskan pendekatan populis seperti pemberian BR1M dan pemberian tunai kepada pelajar sekolah. Kaedah meringankan beban rakyat sebegini adalah tidak produktif malahan akan menjejaskan usaha mempromosi produktiviti rakyat untuk jangka masa panjang.

5. Usaha-usaha untuk mengurangkan beban rakyat seharusnya lebih menumpukan kaedah pelaksanaan seperti kupon pengangkutan untuk pengguna perkhidmatan awam seperti LRT, Komuter dan Bas, menu rakyat 1 Malaysia dipelbagaikan, kos pengeluaran bagi sektor makanan dan peruncitan dikawal supaya kekal rendah dan inflasi terhadap barang-barang keperluan dipantau dengan dekat. Peniaga-peniaga yang tiada pilihan berurusan dengan kos-kos pengeluaran lain seperti pengangkutan, buruh dan bahan mentah akan menyumbang kepada kenaikan harga barang keperluan. Sehubungan itu, keprihatinan Kerajaan terhadap isu-isu keperluan asas rakyat sebegini perlu diberi lebih perhatian walaupun usaha-usaha telah pun dilaksanakan.

6. Beberapa perkara berkaitan kemampanan ekonomi serta inisiatif dasar monetori yang diperkenalkan bolehlah dirujuk beberapa blog yang membuat ulasan yang menarik untuk dikongsi antaranya http://syedsoutsidethebox.blogspot.com/ , http://www.kadirjasin.blogspot.com/ , http://medan-info-kita.blogspot.com/2012/10/ulasan-bajet-2013.html dan http://ulamak.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=561:ulasan-bajet-2013-ketirisan&catid=17&Itemid=19 .

Selamat membaca.

Sekian, wassalam.

Wednesday, September 26, 2012

Bajet 2013

As salam.

1. Selamat bertemu di ruang maya kembali. Kepada pengunjung blog ini, terima kasih kerana menggunakan masa anda untuk membaca walaupun bahan bacaan di blog ini hanya pandangan Pacco sahaja.

2. Seperti mana kita semua maklum, Kerajaan akan membentangkan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2013 atau lebih popular dengan nama Belanjawan 2013 pada 28 September 2012 (Jumaat). Bagaimana pun, pembangkang atau lebih dikenali Pakatan Rakyat (walaupun nama Pakatan Rakyat adalah tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak didaftarkan) akan mendahului Kerajaan apabila membentangkan Belanjawan bayangan pada 26 September 2012 (Rabu) dengan tema "Ekonomi Rakyat, Negara Berkat".


3. Sebagai rakyat samada pembayar cukai atau tidak, apa-apa dasar yang diperkenalkan melalui pembentangan Bajet akan dirasai secara langsung atau tidak langsung.

4. Apakah harapan kita sebagai rakyat terhadap Bajet 2013? Bagi pihak Kerajaan sedia ada, Bajet kali ini diibaratkan persiapan logistik yang sangat kritikal untuk menghadapi peperangan. Ini kerana Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU 13) akan tamat mandat pada Jun 2013. Bagi PR, Bajet bayangan merupakan umpan paling berharga bagi memancing ikan dilautan luas kerana rakyat akan tergoda dengan setiap imbuhan/ganjaran yang ditawarkan.

5. Pertarungan dua penjual ubat (BN vs PR) dalam memenangi hati pembeli sudah tentu akan melakarkan sejarahnya yang tersendiri.

6. Saya berkesempatan berborak-borak dengan beberapa rakan kelas bawah dan menengah, tawaran popular seperti menurunkan harga kereta, pendidikan percuma, air percuma dan peluang memiliki rumah di kawasan bandar tanpa menghadapi kerenah syarat-syarat bank yang ketat antara tawaran yang menggiurkan.

7. Bagi Kerajaan yang bertanggungjawab terhadap ekonomi Negara, setiap tawaran atau dasar yang diperkenalkan hendaklah rasional dan tidak bersifat populis semata-mata. Ini kerana, kehilangan pendapatan negara yang besar apabila perbelanjaan terus meningkat, akan menyebabkan rakyat hanya bergembira pada waktu seketika tetapi anak cucu kita akan menanggung beban pada masa hadapan.

8. Pandangan ahli ekonomi, pakar dalam perbankan serta persatuan-persatuan NGO yang mewakili kepentingan rakyat perlu diharmonikan. Rakyat Malaysia perlu dididik supaya kebergantungan terhadap subsidi, kewangan, pinjaman terlalu mudah tanpa mengukur baju di badan sendiri akan menyebabkan lebih ramai rakyat negara ini muflis pada masa hadapan.

9. Saya akan mengulas Bajet 2013 bertemakan 'Ekonomi Rakyat, Negara Berkat' selepas meneliti input yang dihebahkan media nanti.

Wallahu'alam.

Pacco.